Fesyen Batik tidak dilupakan


Was-was dan ketinggalan zaman barangkali perkataan terbaik bagi menggambarkan persepsi anak-anak muda terhadap persalinan bercirikan batik. Kerapkali kelompok belia menolak penggunaan pakaian yang menggunakan tekstil tradisional tersebut gara-gara enggan dilabel sebagai kolot atau terlalu konservatif. 

Batik, fabrik bercorak yang tidak asing lagi digayakan masyarakat di negara ini. Berasal dari perkataan Jawa iaitu ‘amba’ yang bermaksud menulis dan ‘menitik’ iaitu membuat titik, batik menjadi produk keagungan khususnya penduduk di Indonesia. Dari negara serumpun, tidak mustahil pemakaian batik boleh diterima pakai di Malaysia dan Indonesia, cuma bezanya ada sedikit perbezaan dari teknik lukisan tangan, motif corak yang dihasilkan di atas rentangan fabrik. 

Generasi muda kini tidak mahu memakai batik tradisional yang sedia ada kerana ia tidak menepati cita rasa zaman sekarang. Sebaliknya berbangga dengan fesyen batik kerana ia antara lambang warisan negara yang tidak ternilai.Maka, menerusi pemodenan batik dengan rekaan-rekaan yang segar dan trendy mampu menarik minat sekali gus menghilangkan rasa malu apabila menyarungkannya ke acara santai. 

Disebabkan kekangan gaya, remaja perempuan hanya memilih batik ketika melaram bersama kebaya. Akibatnya, skop penggunaan batik dirasakan terhad dan seperti tidak boleh diperluaskan membentuk busana lain. Ironinya, seluas mana sekalipun promosi atau usaha badan-badan tertentu mengangkat batik ke peringkat global, ia masih gagal menarik minat remaja tempatan yang sepatutnya menjadi penyambung legasi agung tersebut. 

Selari dengan pemilihan fabrik , rekaan dan potongan yang diilhamkan juga mengikut cita rasa masyarakat moden hari ini. Potongan busana juga tidak tertumpu kepada wanita tidak bertudung seperti potongan polos, blaus panjang dan kurung moden. 

Namun, sebagai keseimbangan gaya hidup wanita hari ini, potongan seperti kaftan dan jubah dalam sentuhan lebih segar dan selesa sesuai untuk gaya pemakaian wanita Muslimah. Lebih berani potongan blaus berkemban yang dipadankan dengan selendang dan blaus kasual santai yang disuaipadankan dengan topi pantai antara rekaan yang menarik perhatian. 

Selain itu, gaun petang menggunakan corak batik juga menepati tema dan cita rasa dengan gaya lebih anggun, segak, bergaya sebaik melangkah menghadiri acara berprestij dan majlis eksklusif rasmi. Secara keseluruhannya, pereka fesyen tempatan gemarkan cita rasa moden apabila menampilkan rona terang, menyala dan berwarna-warni dengan mainan corak berbunga serta haiwan untuk penggayaan kontemporari. 

Tidak lari daripada batasan budaya, rekaan kekal dengan imej sopan tetapi masih mampu bergaya anggun dan elegan.

0 comments:

Post a Comment

Ads