“Little PSY" lancar album sulung




Selepas kejayaan PSY dan lagunya “Gangnam Style” memecah rekod dunia untuk menjadi video YouTube paling banyak ditonton sepanjang masa, kini bintang tarian kecil, Hwang Min-woo, yang terkenal dengan gelaran “Little PSY” bakal mengikuti jejak penyanyi rap itu dengan mengeluarkan album sulungnya.

Seperti yang dilaporkan di laman sesawang Allkpop, Hwang Min-woo, si cilik kacukan Korea-Vietnam ini baru-baru ini muncul di sidang media album sulungnya dan membuat persembahan eksklusif kali pertama sebagai seorang penyanyi menerusi lagunya, “Show+Time”.

Bintang berusia lapan tahun itu juga turut melancarkan muzik video untuk lagunya yang berentak elektro-pop tersebut. Muzik video yang dikeluarkan baru-baru ini, menonjolkan Hwang yang berpakaian serba merah menunjukkan bakat tariannya berlatarkan sebuah kelab. 

Hwang sebelum ini meraih populariti apabila muncul dalam video muzik “Gangnam Style” di samping PSY. Dia yang sebelum ini muncul dalam program realiti “Korea’s Got Talent” dan “Star King” ketika berusia 5 tahun, telah dipilih untuk membuat persembahan bersama PSY selepas penyanyi rap itu tertarik dengan kebolehan tariannya. 

Sementara itu, PSY baru-baru ini melancarkan “Gangnam Style” berentak remix dan kini sedang sibuk dengan konsert jelajahnya.

0 comments:

Post a Comment

Ads